RED VELVET CHOCOLATE CHIFFON CHEESECAKE



Assalamualaikum buat semua...

Hari ni saya berkesempatan untuk kongsikan satu lagi resepi kegemaran saya iaitu Red Velvet Chiffon Cake. 

Sememangnya 'plain cake' seperti ini menjadi pilihan pelanggan selain daripada kek mentega & kek span. Ada yang tidak suka kek bersalut atau berintikan krim kerana rasanya yang cepat muak, maka kek kosong seperti ini menjadi pilihan mereka.






Di sebabkan tidak dapat menahan godaan melihat kek yang di siapkan untuk pelanggan, saya pun bakar satu loyang untuk dimakan sendiri. 

Aduhhh geram rasanya bila tengok kek chiffon iteww, bila di keluarkan dari loyang terasa di panggil untuk potong & makan, hihi ^_^




Sebelum ini saya pernah kongsikan resepi yang sama DI SINI. Cuma kali ini saya kurangkan telur & tambahkan perisa coklat untuk kelainan. Nak buat yang perisa Red Velvet saja pun sedap juga.

Teksturnya sangat gebu & lembut, terasa lemak2 dari krim keju di selang seli dengan rasa red velvet & coklat...boleh bayangkan tak??? Paling suka tengok tektur kek yang berongga tu.

Fuhh nasib baik kek saya ada banyak lagi dalam peti sejuk tu, esok2 boleh sambung makan, hihi.

Korang trylah buat sendiri nanti ya, follow resepi betul2 jangan derhaka, Inshaallah kek akan menjadi dengan jayanya. Part nak buat marble tu korang jangan pening sangat, ikutlah cara masing2 yang penting keknya menjadi, esok2 boleh praktis lagi bagi cantik.

Selamat mencuba :)






RED VELVET CHOCOLATE CHIFFON CHEESECAKE

Bahan2nya:
A
250g cream cheese, suhu bilik
60g mentega, suhu bilik
100ml uht whipping cream

B
100g tepung kek, diayak
20g tepung jagung, diayak

C
9 biji kuning telur, gred A
1 sk esen vanila

D
9 biji putih telur, gred A
200g gula kastor
1/2 sk cream of tartar

E
1 sk chocolate emulco

F
1 1/2 sk red velvet emulco


Cara2 membuatnya:
1. Sediakan loyang chiffon bersaiz 10 inci. JANGAN gris loyang dengan mentega. Ketepikan.

2. Satukan bahan A dalam bekas tahan panas. Masak guna kaedah double boiler hingga cheese cair sepenuhnya, pastikan tiada ketulan untuk mendapatkan tekstur kek yang halus. 

3. Alihkan dari double boiler. Masukkan bahan B, gaul hingga betul2 rata. Masukkan pula bahan C, gaul rata lagi. Ketepikan sebentar.

4. Dalam mangkuk lain, satukan putih telur & cream of tartar. Pukul hingga berbuih. Masukkan gula sedikit demi sedikit. Pukul hingga kembang bertanduk. Jangan terlebih pukul nanti susah untuk disebatikan.

5. Masukkan 1/2 adunan putih telur kedalam adunan cheese tadi. Kaup balikkan hingga rata. Kemudian, masukkan adunan yang digaul tadi kedalam baki adunan putih telur. Kaup balikkan adunan hingga betul2 sebati. Buat dengan lemah lembut tetapi pantas. 

6. Asingkan 1/4 adunan kedalam mangkuk, satukan dengan chocolate emulco. Kemudian sisa adunan bahagikan kepada 2 bahagian. Masukkan red velvet emulco kedalam salah satu bahagian & satu bahagian lagi biarkan plain. Gaul sebati.

7. Ambil loyang chiffon, tuang adunan yang plain lebih kurang 6 sb disebelah kiri loyang. Kemudian, tuang pula adunan red velvet disebelah kanan loyang sebanyak 6 sb. Adunan akan nampak berbelang, sebelah plain, sebelah red velvet.

8. Seterusnya, ambik adunan yang coklat tuang sebanyak 3 sb atas red velvet. Ulang langkah tadi berselang-seli hingga semua adunan siap dituang. 

Red Velvet - Coklat - Plain - Red Velvet -Coklat - Plain

9. Bakar kek selama lebih kurang 45-50 minit atau hingga kek masak sepenuhnya pada suhu 170C. Bila kek sudah masak, segera terbalikkan & biarkan sejuk sepenuhnya baru dikeluarkan dari loyang. Kek sedap dimakan sejuk.



Comments

Post a Comment

Thanks for your comments :)

Popular Posts