KEK BATIK



Wah lamanya tak update entri di blog ni. Banyak juga entri yang terlepas nak update ni, huhu. Sempena cuti hari pekerja hari ni saya rajinkan diri baking untuk anak2. Salah satu dessert yang digemari ialah kek batik ni, saya suka kek batik versi yang rangup, yang lembut lemau tak seberapa nak layan ^_^





Kek batik memang resepi legend kan, resepi yang sangat mudah untuk dibuat, bahannya pun sikit saja & mudah didapati. 

Hari2 persekolahan biasa anak2 saya memang suka beli kek batik dari kantin sekolah, asyik puji2 kesedapannya. Alahai kesiannyalah anak mama. Hah! hari ni saya rajinkan diri buat 2 adunan sekali gus, biar puas makan, hehe.




Resepi ni ada banyak versi kan, ada yang guna coklat masakan sepenuhnya, tambah telur dalam adunan, susu cair, kekacang, cheese topping & macam2 lagilah. 

Pada saya pula lebih suka resepi yang original tanpa telur & ditambah dengan cheese topping atasnya, tapi tak seberapa nak rajin buat cheese topping tu, hehehe. Buat plain saja pun sudah sedap. 

Resepi kek batik tanpa telur ni menghasilkan tekstur biskut yang lebih rangup. Bila dimakan tak mudah bosan, krup, krap, krup, krap bunyinya :)

Cubalah buat sendiri nanti ya, selamat mencuba semua...






KEK BATIK

Bahan-bahannya:
A
1 bungkus biskut marie (saya guna jenama tiger)
Patah-patahkan kasar

B
200g mentega (unsalted)
3/4 tin susu pekat penuh krim (F&N)
2 cawan serbuk milo
2 sudu besar serbuk koko (supaya warnanya gelap sedikit)


Cara-cara membuatnya:
1. Sediakan loyang petak bersaiz 8 inci. Ketepikan.

2. Cairkan mentega dalam periuk. Masukkan susu pekat, milo & serbuk koko, kacau rata hingga betul-betul sebati. Kecilkan api.

3. Matikan api. Masukkan biskut marie yang dipatah-patahkan. Gaul rata guna senduk.

4. Tuang dalam loyang yang disediakan. Tekan hingga betul2 rata. 

5. Tutup & simpan dalam peti sejuk hingga mengeras. Potong & hidangkan.





Comments

Popular Posts